Minyak sayuran adalah bahan yang terhasil melalui proses ekstrak komponen-komponen tumbuhan seperti buah, bijirin, benih, isi dan kacang.
Proses ekstrak atau penyulingan ini melibatkan banyak peringkat dan boleh dilakukan secara mekanikal atau mengguna bahan pelarut kimia.
Tumbuhan atau tanaman (oil crop) yang menghasilkan minyak sayuran dan lemak sayuran dikenali pokok biji minyak.
Sebagian besar minyak sayuran ini digunakan sebagai minyak masak selain untuk perindustrian dan biodiesel.
Minyak sayuran yang utama di dunia ialah minyak kacang soya, minyak kelapa sawit, rapeseed atau juga dikenali minyak Canola dan minyak bunga matahari.
Tidak seperti minyak sayuran lain, minyak kelapa sawit menerima layanan tidak adil kerana dikaitkan kemusnahan alam sekitar.
Pelbagai sekatan dan diskriminasi dikenakan terhadap minyak sawit oleh negara-negara utama pengeluar minyak sayuran lain seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Kesatuan Eropah (EU).
Pandemik COVID-19 telah menjejaskan pengeluaran minyak sayuran pada 2020 dan 2021 menyebabkan harga minyak sayuran melonjak.
Minyak sawit menjadi minyak sayuran paling mahal ketika ini.
Krisis bekalan minyak sayuran global menjadi makin serius ekoran Konflik Ukraine-Rusia, cuaca melampau di Amerika Selatan dan terbaharu, sekatan eksport minyak sawit oleh kerajaan Indonesia bermula 28 April lalu.
Harga minyak sayuran yang tinggi dan tidak seimbang boleh mencetuskan inflasi makanan global.