KUALA LUMPUR – Seorang pekerja yang parah akibat dipijak gajah liar ketika bertugas di Ladang Semantan, Mentakab, Pahang akhirnya meninggal dunia pagi tadi.
Mengesahkan perkara itu, Pengurus Besar MPOGCF, Zamakhshari Muhamad berkata, mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang bertugas di Ladang Semantan, Mentakab dan mengalami kecederaan serius pada bahagian badan serta patah pergelangan kaki kiri Selasa lalu.
“MPOGCF amat bersimpati dan ingin menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga pekerja ladang kelapa sawit terbabit.
“Pihak MPOGCF juga mengambil insiatif menghulurkan bantuan berbentuk wang tunai sebanyak RM5,000 dengan harapan dapat membantu meringankan beban keluarga mangsa,” katanya hari ini.
Mengulas mengenai insiden tersebut, Zamakhshari berkata, siasatan awal Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang mendapati ladang kelapa sawit terbabit bersempadan dengan Hutan Simpan Kemasul.
Katanya, berdasarkan rekod pihak PERHILITAN, terdapat beberapa kumpulan gajah liar yang telah dikenal pasti berada di hutan simpan berkenaan.
“Pekerja dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mengambil tindakan secara bersendirian, jika bertembung atau berhadapan dengan haiwan itu yang berkeliaran di kawasan ladang dan kebun sawit.
“Mereka juga diminta menjauhkan diri dan terus menghubungi PERHILITAN Semenanjung Malaysia di talian bebas tol 1-800-88-5151 jika terserempak dengan hidupan liar tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, gajah bukan haiwan yang ganas tetapi mamalia itu boleh menjadi agresif jika sedang kelaparan atau merasakan keselamatan dirinya terancam.
Justeru katanya, sebarang tindakan bersifat provokasi bagi mengusir gajah perlu dielakkan, apatah lagi hidupan liar itu dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 atau Akta 716.
“Sebagai peneraju inisiatif pemuliharaan biodiversiti industri sawit negara, MPOGCF memandang serius terhadap kejadian seumpama ini dan akan terus memberi sokongan penuh bagi usaha mengurangkan Konflik Manusia-Gajah, serta langkah mitigasi bersesuaian dengan menggalakkan kewujudan atau keharmonian bersama atau ‘Living Together’, terutamanya dalam industri sawit Malaysia.
“MPOGCF sentiasa menjalankan pelbagai inisiatif pemuliharaan gajah bagi mengurangkan Konflik Manusia-Gajah di kawasan perladangan sawit termasuk penubuhan Borneo Elephant Sanctuary (BES) di Sabah, pelaksanaan projek ‘Living Together with Elephants’ bersama TDM Plantation di Terengganu, projek ‘Elephant Grass Planting’ di Sabah serta projek Koridor Gajah di Kelantan.
“MPOGCF juga telah mendapat kelulusan dan dalam proses untuk menubuhkan Johor Elephant Sanctuary (JES) di Johor,” katanya.
Sumber: Getaran