KUALA LUMPUR – Bagi menyokong inisiatif dan program pemeliharaan kehijauan bumi dan melindungi hidupan liar, Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) tampil menaja 290 papan tanda ‘Hidupan Liar Melintas’ bernilai hampir RM400,000.
Pengurus Komunikasi Korporat MPOGCF, Tuan Nazuri Tuan Ismail berkata, pihaknya bercadang memasang papan tanda tersebut di 145 lokasi terpilih
Katanya, kemalangan jalan raya atau ‘roadkill’ adalah antara ancaman utama kepupusan hidupan liar di negara ini dengan 2,525 kes itu direkodkan dari 2015 hingga 2020.
“Papan tanda ini akan dipasang pertengahan bulan ini di 145 lokasi terpilih yang dikenal pasti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung sebagai kawasan panas ‘roadkill’.
“MPOGCF berharap usaha ini dapat melindungi hidupan liar dan manusia daripada risiko kemalangan jalan raya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tuan Nazuri berkata, pemasangan papan tanda itu adalah projek terbaharu hasil kerjasama strategik MPOGCF dan PERHILITAN, selain Program Konservasi Harimau Malaya (2021-2025) serta beberapa program yang masih dalam perancangan awal.
“Sokongan MPOGCF terhadap usaha melindungi dan memelihara hidupan liar adalah bukti kelestarian industri sawit Malaysia yang bertapak di negara ini sejak lebih 100 tahun,” katanya. – Getaran, 3 Mac 2022.
Sumber: Getaran MY