Skip to main content
12 Februari 2025 – MPOGCF-MTDC Ideathon Demo Day 2025 telah berlangsung dengan jayanya di UPM-MTDC Technology Centre, UPM, menghimpunkan penyelidik, inovator, dan wakil industri dalam mencari penyelesaian inovatif bagi menangani konflik antara manusia dan hidupan liar di sektor kelapa sawit.
Program ini merupakan inisiatif Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) dengan kerjasama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) sebagai broker teknologi, dalam usaha menggalakkan inovasi lestari serta pemuliharaan biodiversiti Malaysia.
Ia bertujuan untuk membangunkan teknologi yang dapat membantu industri dalam menghadapi cabaran kelestarian, serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kehidupan bersama (coexistence) dengan hidupan liar.
Dengan penyertaan inovator dari pelbagai latar belakang, program ini menjadi platform untuk menghubungkan idea-idea cemerlang dengan keperluan industri dan pemuliharaan.
Sebanyak 14 kertas kerja telah disenarai pendek dan antara projek menarik yang dibentangkan dalam sesi pitching termasuk ELEFence, sistem pagar pintar bagi mengawal interaksi antara ladang kelapa sawit dan hidupan liar; PalmIQ, teknologi analitik data untuk pemantauan dan mitigasi konflik; GajahSafe, solusi pintar bagi mencipta keseimbangan dalam kehidupan bersama antara manusia dan gajah; serta WildPaw Prints, platform sehenti yang menyediakan pengurusan data hidupan liar secara sistematik.
Dengan kejayaan program MPOGCF-MTDC Ideathon Demo Day, MPOGCF terus komited dalam memperkukuhkan inisiatif pemuliharaan menerusi inovasi teknologi.
Program ini membuktikan bahawa kerjasama antara sektor industri, penyelidik, dan teknologi dapat melahirkan penyelesaian lestari yang mampu memberi manfaat kepada alam sekitar serta memastikan masa depan industri yang lebih mampan.
Barisan panel penilai yang hadir pada program tersebut termasuklah Pengurus Pemuliharaan dan Kemampanan MPOGCF, Encik Ahmad Shahdan Kasim, Ketua Divisyen Malaysian Technology Development Corporation, Ts. Dr. Indera Shaiful Baharudin, Naib Presiden Yayasan Inovasi Malaysia, Encik Mohamad Latife Bin Shamsusin, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT Jabatan Pendidikan Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi, Ts. Inv. Dr. Mohammad Abdullah dan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Konservasi Hidupan Liar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN), Puan Nurul Azura Binti Mohd Naim