Teknologi pemungut buah sawit relai ini dicipta sekumpulan penyelidik di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang diketuai Mohd Ramdhan Mohd Khalid.
Kumpulan itu telah menjalankan aktiviti penyelidikan yang komprehensif dalam membangunkan teknologi ini sejak 2012.
Teknologi ini boleh dipasang pada jentera penggerak utama atau traktor mini.
Menerusi ujian-ujian yang telah dijalankan, jentera yang dipasang teknologi ini mampu memungut buah sawit relai antara 4.2 hingga 5.1 kg dalam masa seminit atau 1,200 hingga 1,500 kg sehari dengan kandungan sampah kurang dari 15% dan tidak merosakkan buah.
Teknologi ini mampu memastikan semua buah relai dapat dikutip, meningkatkan pendapatan dan keuntungan ladang yang lebih tinggi kerana kadar pengekstrakan minyak yang lebih baik.
“Dengan teknologi ini, buah sawit relai kini dapat dihantar ke kilang dengan peratusan sampah yang rendah serta memastikan kualiti buah sawit yang lebih baik,” kata Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir menerusi kenyataan media pada 28 Mei 2021.
Penggunaan teknologi secara kreatif dan inovatif adalah penting untuk Malaysia kekal kompetitif dalam industri minyak sawit.
Kemajuan teknologi mampu mengoptimumkan penggunaan masa, tenaga manusia dan logistik sekaligus meningkatkan kemampanan industri minyak sawit Malaysia.