Skip to main content
Pada 25 Julai lalu, MPOGCF telah dijemput oleh FELDA bagi melawat FELDA Lasah di Perak bagi melihat kawasan ladang sawit yang terjejas akibat serangan gajah.
Lawatan itu disertai Pengurus Pemuliharaan MPOGCF, Ahmad Shahdan Kasim; Penolong Pengarah Kanan Jabatan Tanam Semula FELDA, Asrul Affendi Amirrudin dan Pengurus Rancangan FELDA Lasah, Wan Fauri Razman.
Seperti yang dimaklumkan oleh Wan Fauri, kira-kira 12,000 pokok sawit direkodkan terjejas dan perlu disulam akibat serangan gajah sejak awal 2024, melibatkan 70 lot kawasan peneroka di kawasan berbukit dan bersempadan dengan Hutan Simpan Piah.
FELDA Lasah telah mengambil beberapa inisiatif untuk mengurangkan serangan gajah seperti pemasangan pagar elektrik, blinker, meriam buluh, pemindahan gajah serta penggunaan tayar yang dibakar untuk menghalau gajah tetapi masih tidak mendapat hasil yang memuaskan. Antara cadangan yang dikemukakan oleh Asrul termasuk membina penghalang kekal (permanent barrier) sepanjang 900 meter.
Ahmad Shahdan pula mencadangkan penggunaan struktur konkrit berbentuk L serta pembinaan cerucuk konkrit yang sesuai untuk kawasan tebing sungai. Pembinaan kedua-dua struktur itu mampu mengekalkan kestabilan tebing sungai yang terjejas akibat serangan gajah. Kos pembinaan kedua-dua struktur tersebut adalah agak tinggi tetapi ia tahan lama dan berkesan.
Selain itu, memandangkan gajah secara umumnya takut kepada lebah, Ahmad Shahdan turut mencadangkan penggunaan pagar lebah (bee fencing) sebagai salah satu inisiatif yang boleh dilaksanakan oleh FELDA Lasah. Inisiatif itu memerlukan unit gotong-royong serta unit khas untuk menjaga koloni lebah tersebut.