Skip to main content
Bengkel Libat Urus Pelan Tindakan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP 2.0) anjuran MPOGCF dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) telah diadakan di Kuantan pada 20 Ogos lalu.
Bengkel bertujuan meningkatkan kesedaran, kefahaman dan kerjasama dalam isu konservasi gajah di negeri Pahang dihadiri wakil-wakil agensi Kerajaan, industri dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO).
Peserta bengkel mendapat maklumat dan perkembangan terkini usaha-usaha konservasi gajah berkenaan usaha dan kaedah yang telah dijalankan bagi mengatasi konflik manusia dan gajah. Pembentang yang terlibat ialah Pengarah Bahagian Kawasan Perlindungan PERHILITAN, Salman Saaban dan Penolong Pengarah PERHILITAN Pahang, Khairul Hazri Mohd Arif.
Turut membuat pembentangan, Mohammad Rizal Paimin dari Institut Biodiversiti PERHILITAN, Nur Aida Ab Ghani dari Unit Konservasi dan Biodiversiti SD Guthrie, Dr. Wong Ee Phin dari Management and Ecology of Malaysian Elephants (MEME) dan Arbain Ahmad dari YP Hevea Sdn Bhd.
Salman Saaban dalam pembentangannya menjelaskan usaha-usaha oleh PERHILITAN seperti mewujudkan NECAP 2.0 yang bertujuan memelihara koridor gajah, mengurangkan konflik, pengukuhan perundangan, peningkatan pengetahuan dan urus tadbir pengurusan gajah. Khairul Hazri pula menjelaskan, daerah Jerantut merekodkan jumlah konflik manusia dan gajah yang tertinggi di Pahang.
Katanya, PERHILITAN negeri Pahang telah melaksanakan pelbagai langkah seperti pengurusan koridor gajah, pemindahan gajah, pemasangan kolar satelit, dan sistem pagar elektrik (SPEG). Dr. Wong Ee Phin pula berkata, pengurusan Konflik Manusia-Gajah (HEC) oleh MEME dengan kerjasama pelbagai estet dan organisasi memberi penekanan kepada sambungan landskap menerusi projek pemasangan kamera perangkap, bioakustik, dron dan sistem penggera awal.
Nur Aida pula dalam pembentangannya berkata, SD Guthrie juga telah memperkenalkan SOP untuk mengurangkan konflik. Hasil penelitian menunjukkan 97% pokok rosak berumur kurang lima tahun dan terdapat juga pola konflik ketika proses penanaman semula kelapa sawit, katanya. Wakil dari YP Hevea Sdn Bhd, Arbain Ahmad berkata, kaedah pembakaran tayar dan sistem bunyi tidak berkesan dalam mengatasi konflik gajah yang memecah masuk ke ladang dan pejabat.
“Kami telah memperkenalkan koridor gajah di Sg. Relop, penanaman rumput napier, jenut tiruan dan pemasangan pagar elektrik di kawasan ladang sawit seluas 200 ekar untuk menangani konflik,” katanya.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memperkenalkan bantuan kewangan bagi kerugian akibat serangan hidupan liar, meliputi 50% kerugian dengan maksimum RM50,000.