Skip to main content
MPOGCF dengan kerjasama Harian Metro menganjurkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) atau kelestarian korporat di Masjid Nurul Iman, Kampung Ijok, Kuala Selangor pada 14 Mac lalu.
Program Titipan Kasih Harian Metro – MPOGCF ini mendapat sokongan dan kerjasama daripada Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) dan PKPKM Cawangan Negeri Selangor.
Sempena program itu, MPOGCF mengagihkan 1,000 pek bubur lambuk kepada penduduk tempatan yang majoriti pekebun kecil sawit dan agensi keselamatan. MPOGCF juga mengagihkan 100 kotak rezeki yang mengandungi barangan keperluan harian seperti minyak masak, tepung dan gula kepada pekebun kecil yang memerlukan. Pekebun kecil sawit dan komuniti setempat juga diraikan oleh MPOGCF dalam majlis berbuka puasa.
Program Titipan Kasih Harian Metro-MPOGCF dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, YB Jefri Mijan; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembanguna) MPOB merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Dr Ramle Moslim, Presiden PKPKM, Adzmi Hassan; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud.
Dalam ucapan perasmian, Dr Ramle Moslim berkata, MPOGCF akan memperbanyakkan lagi program serta inisiatif untuk membantu pekebun kecil sawit selari dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan taraf sosial ekonomi golongan berkenaan. Salah satunya ialah projek Inisiatif Burung Pungguk Jelapang untuk Pekebun Kecil atau BOSI yang akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.