Skip to main content
1 Julai 2024 – Mesyuarat bersama penduduk kampung telah diadakan bertempat di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota Bharu bagi membincangkan Projek Kajian Kesesuaian Mewujudkan Koridor Gajah di daerah Jeli, Kelantan.
Sesi libat urus ini penting bagi mendapatkan maklum balas semua pemegang taruh bagi mengenal pasti permasalahan dan isu berkaitan gajah yang dihadapi di daerah Jeli.
Statistik yang diperoleh daripada pihak berwajib menunjukkan kejadian konflik manusia dan gajah (HEC) yang agak tinggi di daerah berkenaan. Sehubungan itu, MPOGCF mengambil inisiatif untuk menjalankan kajian tersebut dengan kerjasama UMK.
MPOGCF diwakili Pengurus Pemuliharaan, Ahmad Shahdan bin Kasim. Hadir sama, Penolong Pengarah PLANMalaysia@Kelantan TLAr Nik Nurina Nik Saidina Omar; Ketua Jajahan Kelantan Barat, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Suryani Mohd Nordin; Ketua PERHILITAN Daerah Jeli, Zawawi Ismail; Penolong Ketua Jajahan (Pembangunan & Pelupusan Tanah) Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli, Mohd Faiz Azmil Abdul Aziz serta ketua-ketua kampung dan wakil-wakil ketua kampung.
Kepentingan koridor gajah untuk membolehkan haiwan itu bergerak dengan selamat, memperoleh sumber makanan dengan lebih mudah dan mengurangkan HEC.
Lima lokasi cadangan koridor gajah ialah di Batu Melintang, Kg. Lawar, Lata Janggut, Sg. Rual dan Kg. Kalai.
Kelima-lima kawasan ini dipilih kerana mempunyai skor yang tinggi berdasarkan lokasi, saiz, topografi, paras air, sumber makanan, jarak dan vegetasi dan faktor-faktor lain yang sangat sesuai untuk gajah. Hasil kajian ini juga bagi membolehkan โ€˜food bankโ€™ gajah diwujudkan sepanjang laluan koridor gajah itu.
Gajah merupakan spesies yang penting dan dilindungi sepenuhnya di Malaysia dan merupakan satu aset penting dalam memastikan keseimbangan ekosistem hutan di negara kita.
MPOGCF berharap projek kajian ini dapat direplikasi untuk kawasan yang mengalami konflik yang sama dan dapatan kajian dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat serta negara khasnya.