PETALING JAYA – Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) menghulurkan bantuan wang tunai sebanyak RM5,000 kepada keluarga mendiang N. Arjunan yang meninggal dunia akibat dipijak gajah liar ketika bertugas di Ladang Semantan, Pahang pada Selasa lalu.
MPOGCF dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bersimpati dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh, Pahang pagi ini.
“Mangsa yang juga pekerja ladang kelapa sawit dilaporkan dipijak gajah liar sehingga mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan patah pergelangan kaki kiri.
“Sumbangan wang tunai sebanyak RM5,000 ini merupakan inisiatif MPOGCF dengan harapan dapat membantu meringankan beban keluarga mendiang,” kata kenyataan tersebut.
Tambahnya, siasatan awal Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang mendapati, ladang kelapa sawit tersebut terletak bersempadan dengan Hutan Simpan Kemasul.
“Menurut rekod Perhilitan, terdapat beberapa kumpulan gajah liar yang telah dikenal pasti berada di hutan simpan berkenaan. Pekerja-pekerja di ladang sawit dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mengambil tindakan secara bersendirian sekiranya bertembung dengan gajah liar.
“Pekerja-pekerja ladang juga diminta menjauhkan diri, jika terserempak dengan hidupan liar tersebut dan terus menghubungi Perhilitan Semenanjung Malaysia di talian bebas tol 1-800-88-5151,” katanya.
Jelas kenyataan itu, walaupun gajah bukan haiwan yang ganas, namun boleh menjadi agresif sekiranya kelaparan atau merasakan keselamatan dirinya terancam.
“Sebarang tindakan bersifat provokasi bagi mengusir gajah perlu dielakkan kerana hidupan liar itu dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 atau Akta 716.
“Sebagai peneraju inisiatif pemuliharaan biodiversiti industri sawit negara, MPOGCF memandang serius terhadap kejadian seumpama ini dan akan terus memberi sokongan penuh bagi mengurangkan konflik manusia-gajah dan mengambil langkah mitigasi yang bersesuaian,” ujarnya.
Kosmo! pada Rabu melaporkan, seorang pekerja ladang cedera selepas dipijak sekumpulan gajah liar ketika sedang bekerja di Ladang Semantan Mentakab.
Sumber:Kosmo