Kerajaan mungkin mengurangkan separuh cukai eksport minyak kelapa sawit daripada 8% kepada antara 4% hingga 6%.
Kementerian Kewangan sedang meneliti cadangan pengurangan cukai itu dan keputusannya dijangka diumumkan seawal Jun ini.
Cadangan pengurangan cukai eksport minyak sawit itu dibuat oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi selepas mengambil kira situasi semasa bekalan dan permintaan minyak sawit di seluruh dunia.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, minyak sawit mendapat permintaan yang sangat tinggi dan dengan sedikit kelonggaran itu membolehkan pemain-pemain dalam industri minyak sawit Malaysia mendapat manfaat besar.
Minyak sawit Malaysia mendapat permintaan tinggi selepas Indonesia menyekat sementara eksport minyak sawit bagi menstabilkan bekalan domestik, berkuatkuasa 28 April lalu.
Permintaan yang tinggi itu juga didorong kekurangan bekalan minyak soya dan bunga matahari ekoran Konflik Ukraine-Rusia dan cuaca melampau di Amerika Selatan.