KUALA LUMPUR – Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) kekal komited dalam menyokong pemuliharaan orang utan sebagai spesies hidupan liar terancam dan dilindungi.
MPOGCF dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan yayasan itu memulakan, bekerjasama dan menyokong inisiatif pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar serta amalan mampan yang berkaitan dengan dan dalam industri minyak sawit Malaysia.
Untuk itu, tahun ini MPOGCF menyediakan pembiayaan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah berjumlah sehingga RM1.5 juta dalam usaha kami menyokong tinjauan populasi mengenai status dan daya tahan jangka panjang orang utan di Sabah,” menurut kenyataan itu.
Jelasnya, MPOGCF juga memulakan Kempen Penanaman Satu Juta Pokok Hutan pada 2019, projek 10 tahun dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah.
Kempen itu diadakan sebagai sebahagian daripada inisiatif industri dalam penghutanan semula habitat orang utan, dengan anggaran pelaburan sebanyak RM28 juta.
Sebelum itu, industri melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia telah membiayai dua inisiatif utama pemuliharaan orang utan di negeri Borneo seperti tinjauan populasi orang utan yang hidup di landskap pertanian Sabah oleh Borneo Conservation Trust bersama HUTAN-Program Pemuliharaan Orang Utan Kinabatangan yang selesai pada 2018.
Kawasan tinjauan termasuk menilai status pemuliharaan orang utan serta trend taburan, kepadatan dan ancaman pemuliharaan orang utan.
Satu lagi inisiatif ialah Program Pemuliharaan Orang Utan di Sarawak, satu kerjasama dengan Perbadanan Perhutanan Sarawak sejak 2014 yang siap pada 2017 dengan penerbitan laporan saintifik penuh bersama usaha pemuliharaan di kawasan perlindungan di Sarawak iaitu taman negara Ulu Sebuyau, Sedilu, Gunung Lesung dan Maludam,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menambah inisiatif berkenaan mencerminkan peranan dimainkan industri minyak sawit sebagai rakan kongsi aktif dalam pemuliharaan orang utan di samping advokasi berterusan dalam amalan minyak sawit yang mampan.
MPOGCF akan terus bekerjasama rapat dengan pihak yang disebut dan pelbagai pihak berkepentingan utama di peringkat tempatan dan antarabangsa yang terlibat secara aktif dalam pemuliharaan orang utan termasuk inisiatif biodiversiti dan kelestarian dalam industri minyak sawit Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Sumber: Sinar Harian