Skip to main content
PETALING JAYA – Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) menganjurkan Program Pengayaan Habitat Harimau Malaya di Pusat Konservasi Harimau Malaysia (MTCC), Lanchang, Pahang pada 23 Januari 2025.
Program ini dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), YBhg. Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof. Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) Jabatan PERHILITAN, YBhg. Dato’ Fakhrul Hatta bin Musa, Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud dan pegawai-pegawai kanan Bahagian Industri Sago dan Sawit (BISS) KPK.
Program Pengayaan Habitat ini melibatkan aktiviti penanaman 95 batang pokok pelbagai spesies antaranya; Jelutong, Pulai, Meranti Tembaga dan Tembusu yang merupakan langkah penting untuk memastikan kurungan harimau di MTCC berada dalam keadaan kondusif seperti habitat semulajadinya.
Program ini bertujuan meningkatkan keberkesanan proses rehabilitasi dan peliaran semula harimau, serta mempersiapkan haiwan ini untuk kembali ke habitat asal dengan lebih berdaya tahan.
Inisiatif Program Pengayaan Habitat Harimau Malaya ini adalah sebahagian daripada Program Konservasi Harimau Malaya yang bertujuan memulihara dan meningkatkan populasi spesies ini secara ex-situ.