Skip to main content
22 Julai 2024: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan merasmikan Majlis Sambutan Hari Harimau Sedunia 2024 di Institut Biodiversiti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia di Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) di Lanchang, hari ini.
Sambutan Hari Harimau Sedunia diadakan bagi melahirkan kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan pemuliharaan harimau belang. Harimau belang atau dikenali sebagai Harimau Malaya (Panthera tigris jacksonii) sedang diancam kepupusan yang mana dianggarkan populasi haiwan ini di Semenanjung Malaysia hanya sebanyak 150 ekor. Sekiranya tiada sebarang usaha pemuliharaan dilakukan, dijangka spesies ini boleh pupus dalam masa 5 tahun. MPOGCF telah bekerjasama dengan Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia dalam memulihara spesies ikonik ini dan telah menyediakan dana lebih RM3juta untuk menyokong aktiviti pembiakan harimau belang secara ex-situ, rewilding dan pelepasan semula harimau belang ke habitat asal.
Tambahan kepada dana tersebut, MPOGCF juga telah menyumbang 15 unit perangkap harimau sebagai langkah jangka pendek menyelamatkan harimau belang daripada konflik.
Sambutan Hari Harimau Sedunia kali ini juga diadakan untuk menghargai rakan kerjasama Jabatan Perhilitan yang telah membantu program pemuliharaan Harimau Malaya.
MPOGCF antara penerima sijil anugerah yang disampaikan oleh Tengku Mahkota Pahang kepada Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud.